Breadcumb Caption
  • Archive News
  • 2014
  • Projek pangsapuri jejas 
penghuni kondominium - Utusan Online
Breadcumb Caption
  • Archive News
  • 2014
  • Projek pangsapuri jejas 
penghuni kondominium - Utusan Online

Projek pangsapuri jejas 
penghuni kondominium - Utusan Online

Utusan Online, 26 November 2014

news 26112014 uo
Sebuah kren menjalankan kerja-kerja membina pangsapuri berdekatan Kondominium Menjalara 18 Residences dan didakwa gagal mematuhi peraturan sehingga mengganggu penghuni kondominium berkenaan.

KUALA LUMPUR 25 Nov. – Penduduk di Kondominium Menjalara 18 Residences, Bandar Menjalara di sini mendakwa, sebuah syarikat pemaju bagi projek pembinaan sebuah pangsapuri 25 tingkat di kawasan itu gagal mematuhi peraturan sehingga mengganggu­ ketenteraman mereka.

Naib Pengerusi Badan kondominium itu, Eddy Hwang berkata, kerja-kerja pembinaan di tapak projek itu dijalankan melebihi waktu kerja yang dibenarkan oleh pihak berkuasa ­tempatan.

“Mereka sepatutnya melakukan kerja dari pukul 8 pagi hingga 6 petang sahaja, namun meneruskan kerja sehingga pukul 11 malam. Malah, pada hari Sabtu, Ahad dan cuti umum mereka tetap menjalankan kerja-kerja sehingga­ menimbulkan bunyi bising.

“Ini menyebabkan rasa kurang selesa kepada penduduk dan mengganggu anak-anak kami yang masih kecil,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Dakwa Eddy, selain gangguan bunyi, faktor keselamatan juga tidak dititikberatkan oleh kontraktor projek berkenaan apabila pencangkuk kren terhayun ke arah kondominium sehingga menyebabkan bangunan dan dinding bilik penghawa dingin pecah.

“Bayangkan jika ada individu atau kenderaan yang melalui kawasan tersebut sudah tentu berlaku kemalangan.

“Pemaju terbabit seolah-olah mengambil mudah perkara ini biarpun sudah berkali-kali kami mengadakan pertemuan dan menghantar surat aduan mengenai masalah ini,” katanya.

Seorang penduduk, Manmeet Singh berkata, masalah itu telah berlarutan sejak dua tahun lalu.

“Sepatutnya rumah menjadi tempat untuk beristirehat namun apa yang terjadi adalah sebaliknya. Apa guna penduduk di sini membayar sewa yang tinggi sedangkan kami tidak dapat tinggal dalam keadaan aman dan selamat,” katanya.

 

Print Email