Breadcumb Caption
  • Archive News
  • 2013
  • Punca bumbung runtuh masih disiasat
Breadcumb Caption
  • Archive News
  • 2013
  • Punca bumbung runtuh masih disiasat

Punca bumbung runtuh masih disiasat

Utusan Online, 22 Februari 2013

KUALA TERENGGANU 21 Feb. - Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri sedang menyiasat punca sebahagian struktur bumbung Sultan Mizan Zainal Abidin dekat Gong Badak dekat sini, yang jatuh ketika kerja-kerja membuang kerangka itu dijalankan semalam.

Timbalan Pengarah (Pembangunan) JKR negeri, Ir. Ab. Manan Embong berkata, JKR negeri telah memanjangkan kes itu kepada JKR Pusat untuk menghantar tenaga pakar bagi menjalankan siasatan terperinci berhubung insiden tersebut.

Katanya, insiden itu tidak sepatutnya berlaku jika pihak kontraktor mengikut prosedur pembinaan seperti dicadangkan.

"Sebelum ini, pihak kontraktor telah mengemukakan tatacara pembinaan yang juga mendapat pandangan konsultan mereka, namun kemungkinan andaian yang dilakukan tidak tepat menyebabkan kerangka struktur itu jatuh tanpa kawalan.

"Kita juga telah meneliti dan mengambil langkah keselamatan sebelum memulakan kerja-kerja membuang kerangka struktur itu, namun insiden itu berlaku juga," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau mengulas punca kejadian struktur bumbung sepanjang 137 meter di stadium itu yang runtuh semalam sehingga mencederakan lima pekerja kontrak yang sedang membaik pulih bumbung berkenaan.

Dalam kejadian kira-kira pukul 11.30 pagi itu, tiga pekerja cedera parah manakala dua lagi cedera ringan selepas kerangka keluli yang berada pada ketinggian 25 meter itu runtuh.

Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Infrastruktur dan Kemudahan Awam negeri, Datuk Za'abar Mohd. Adib tidak menolak kegagalan kontraktor melaksanakan tatacara pembinaan secara tepat ketika kerja meruntuhkan sebahagian struktur bumbung stadium sebagai punca kejadian.

Katanya, kerja-kerja membaik pulih struktur bumbung berkenaan bukan kerja mudah dan kerajaan negeri telah menawarkan tender secara terbuka serta menerima banyak cadangan.

"Dalam hal ini, kontraktor ini telah melaksanakan kerja-kerja membuang kerangka itu satu-persatu, namun ekoran perancah yang dipasang tidak mampu menampung bebanan struktur bumbung menyebabkannya jatuh.

"Kerja-kerja memotong dan mengangkat struktur bumbung ini dibahagikan kepada lima seksyen dan ketika bahagian tengah dipotong, seksyen kedua mula runtuh kerana bebanan yang ditanggung perancah tidak dapat menampung bahagian struktur yang lain," katanya dalam sidang akhbar khas semalam.

Jelas beliau, kerajaan negeri tidak menanggung sebarang kerugian ekoran kejadian itu kerana pihak kontraktor bertanggungjawab sepenuhnya.

Print Email