Kenyataan Media Sambutan Hari Sedunia Bagi Keselamatan Dan Kesihatan Di Tempat Kerja (World Osh Day) 2016

Kemaman, 10 Mei – Majlis Negara bagi Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (NCOSH) menganjurkan Sambutan Hari Sedunia bagi Keselamatan dan Kesihatan di Tempat Kerja (World OSH Day) 2016 yang dirasmikan oleh YB Dato’ Sri Haji Ismail bin Haji Abd. Muttalib, Timbalan Menteri Sumber Manusia dengan tema sambutannya adalah “Stress at workplaces: a collective challanges” atau “Tekanan di tempat kerja: cabaran bersama”.

Beliau berkata, di dalam usaha kerajaan menangani isu-isu berkaitan tekanan di tempat kerja ini, Kementerian Sumber Manusia melalui Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP), telah mengambil langkah proaktif dengan membangunkan Pelan Induk Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSH-MP 2020) untuk dijadikan asas dan hala tuju kepada aktiviti pembangunan KKP di negara ini serta mewujudkan persekitaran kerja yang selamat, sihat dan kondusif menjelang tahun 2020.

Dalam perkembangan lain, beliau memaklumkan kadar kemalangan negara bagi tahun 2015 adalah 2.81 per 1,000 pekerja. Manakala pada tahun 2014 adalah sebanyak 3.10 per 1,000 pekerja. Ini menunjukkan penurunan sebanyak 9.35 peratus. Tahun 2015 sahaja, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) telah menjalankan sebanyak lebih kurang 258,800 pemeriksaan ke atas tempat kerja dan jentera. Berdasarkan jumlah tersebut, sebanyak 22,190 notis telah dikeluarkan, 913 kesalahan dikeluarkan kompaun dan sebanyak 353 kes didakwa atas kesalahan berkaitan keselamatan dan kesihatan di tempat kerja.

Menurutnya lagi, majikan dan pekerja perlu memberikan komitmen yang baik dalam meningkat tahap keselamatan dan kesihatan pekerjaan di tempat kerja. Media juga turut digesa untuk memainkan peranan dalam mendidik masyarakat berkaitan dengan KKP dengan menyalurkan maklumat yang lebih positif, tepat dan berkesan.

 

Majlis Negara bagi Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Kementerian Sumber Manusia
Aras 4, Blok D3, Kompleks D,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Putrajaya
 
Tarikh Siaran : 10 Mei 2016
Dikeluarkan Oleh : Sekretariat MNKKP

Tags: WORLD OSH DAY

Print