mobile header ms01

Letupan Gas Petroleum Cecair (GPC) di sebuah Pasaraya

Dua orang pekerja maut dan sembilan lagi cedera apabila satu letupan berlaku pada Disember 2009 di sebuah kompleks membeli belah baru di Melaka. Ketika kejadian, pekerja sedang membuat persiapan akhir untuk pembukaan rasmi pasaraya tersebut. GPC disalurkan dari tangki melalui saluran paip gas dan dikawal melalui injap (valve) pada kedai masing – masing terutama kedai menjual makanan dan minuman. Penyiasatan kejuruteraan forensik mendapati letupan berlaku apabila injap yang sepatutnya tertutup telah dibiarkan terbuka di dalam salah sebuah kedai.


Gambar 1: Gas disalurkan dari dua tangki GPC


Gambar 2: kerosakan akibat kesan letupan di pasaraya tersebut

Kebocoran gas tersebut dikesan dan dijumpai oleh salah seorang dari pekerja yang sedang melakukan kerja berhampiran kedai tersebut. Walaubagaimanapun tiada tindakan pengosongan dilakukan dan injap tersebut tidak boleh ditutup kerana kedai tersebut berkunci. GPC yang terkumpul di dalam kedai hanya menunggu masa untuk meletup sekiranya terdapat punca api hasil dari kerja – kerja persiapan akhir yang dilakukan di luar kedai tersebut.

Kombinasi GPC yang terkumpul dan percikan api ini menyebabkan berlakunya Confined Vapor Cloud Explosion dan menyebabkan kerosakan seperti dinding bangunan retak dan pecah, cermin pecah serta keruntuhan siling. Punca kematian dan kecederaan kepada pekerja – pekerja tersebut adalah disebabkan serpihan bahan fizikal yang melayang akibat dari letupan yang berlaku itu.

Cadangan Penambahbaikan

  1. Satu sistem kerja selamat yang komprehensif bukan sahaja harus diwujudkan malah perlu memastikan ia dijalankan oleh mana-mana pihak yang ingin berkerja dengan GPC.
  2. Pemeriksaan menyeluruh pada sistem saluran gas kesetiap kedai – kedai yang terlibat hendaklah dilakukan sebelum proses commisioning dijalankan dan memastikan semua injap di kedai – kedai yang terlibat telah ditutup dengan sempurna.
  3. Pihak kontraktor hendaklah memastikan semua penghujung paip telah di tutup dengan End Cap untuk mengelakkan sebarang kebocoran gas walaupun injap telah ditutup.
  4. Pihak kontraktor perlu diberi maklumat mengenai bahaya GPC dan langkah – langkah pengosongan bangunan/tempat kerja apabila terdapat kebocoran gas
  5. Pastikan pengudaraan yang baik di dalam bangunan terutamanya di tempat-tempat yang terkurung dan tertutup dimana kemungkinan GPC boleh terkumpul jika berlaku kebocoran.
  6. Kedudukan injap kecemasan untuk menutup bekalan gas hendaklah mudah untuk dicapai.

Reference:

  1. Contoh Risalah Data Bahan Kimia(CSDS) Untuk Gas Asli Cecair (LPG) dari Gas Malaysia boleh dibaca di www.gasmalaysia.com/docs/datasheet/datasheet_lpg.pdf

Tags Cloud